Carian

Peminat Setia

Monday, August 16, 2010

Ikan Cencaru Sambal Sumbat

Hari ini dah hari ke tujuh kita berpuasa. Macam mana dengan puasa? Kachigo harap anda semua dapat puasa penuh tahun ni. Sempena bulan Ramadhan ni, Kachigo nak berkongsi resepi Ikan Cencaru Sambal Sumbat.

Sebenarnya, resepi ini ada pelbagai variasi tetapi untuk kali ini, Kachigo nak kongsi resepi turun-temurun editor Kachigo. Resepi ini sesuai untuk dijadikan juadah berbuka puasa atau bersahur. Anda mesti sukakannya.

Kepada sesiapa yang tak tahu ikan Cencaru tu macam mana bentuknya, ha ini dia! Inilah ikan Cencaru ataupun nama samarannya ialah ikan jaket. Sekarang jom kita sediakan bahan-bahannya.

Bahan-bahan:
2 ekor ikan Cencaru
1 biji bawang besar (dipotong)
Belacan (sebesar ibu jari)
Sedikit garam
12 tangkai cili kering (dicelur dalam air panas supaya lembut)
Sedikit asam jawa

Cara-cara:
1. Siang ikan Cencaru dan basuh dengan air limau sehingga bersih. Ikan mestilah dibelah di bahagian belakang badannya supaya sambal tidak akan terkeluar semasa menggoreng nanti. Tujuan mencuci ikan dengan air limau ialah supaya ikan itu tidak hanyir.

2. Tumbuk cili kering bersama belacan dan garam. Bila sudah hancur, masukkan bawang besar dan tumbuk lagi sehingga bawang hancur. Kemudian, masukkan asam jawa dan pastikan asam jawa tersebut sebati dengan sambal.

3. Lumurkan ikan Cencaru dengan garam dan sumbatkan sambal yang telah ditumuk ke dalam perut ikan Cencaru. Sumbat sehingga perut ikan penuh.

4. Panaskan minyak. Goreng ikan Cencaru sehingga masak. Selepas itu, sedia untuk dihidang!

Oh jangan risau kalau sambal itu bertukar menjadi hitam ketika digoreng. Ini kerana adanya campuran asam jawa dalam sambal itu. Kalau tak percaya, sambal yang hitam itulah yang paling sedap.


Dah siap pun Ikan Cencaru Sambal Sumbat.

Anda bolehlah mencuba resepi ini. Rasa sekali pasti nak lagi!

No comments:

Post a Comment